Friday, October 1, 2010

BUAH LIMAU KASTURI

Pokok limau kasturi merupakan sejenis tumbuhan renek yang boleh digolongkan dalam kategori pokok kecil. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga lima meter.Pembiakannya melalui biji benih dan keratan batang. Bunganya dari jenis hemafrodite(dua jantina).Untuk mengeluarkan hasil yang optimum ia memerlukan cahaya matahari yang secukupnya untuk menggalakkan pembungaan. Ia sesuai ditanam pada tanah yang agak liat dan tidak terlalu poros. Buahnya berbentuk seperti buah limau dengan saiznya yang lebih kecil, lebih kurang sebesar ibu jari. Baunya harum dan menyegarkan. Dikebanyakan negara Barat yang beriklim temperat tumbuhan ini dijadikan tumbuhan hiasan kerana bunganya yang cantik dan berbau wangi serta buahnya yang menarik. Tambahan pula ia tahan terhadap fros.
 
Perahan jus limau kasturi (Citrus Microcarpa) memang diakui mampu menambahkan keenakan rasa sesetengah minuman dan masakan. Namun begitu, keistimewaannya tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebenarnya banyak lagi khasiat limau kasturi yang mungkin belum anda ketahui. Ini kerana bukan hanya jusnya, malah kulit limau kasturi ni pun boleh anda gunakan untuk mengurangkan sesetengah penyakit seperti lelah, sakit tekak dan juga pening kepala. Buah limau kasturi juga dikatakan boleh digunakan untuk mengatasi masalah badan berbau. Untuk mendapatkan bau badan yang harum dan enak, minumlah air limau kasturi setiap hari. Bagi mengurangkan penyakit lelah, sila ambil sesudu madu asli. Kemudian, campurkan dengan lima titik jus limau kasturi. Setelah itu, minumlah campuran madu dan jus limau kasturi tersebut. Air campuran tersebut boleh diminum pada bila-bila masa walaupun ketika kita tidak mengalami penyakit lelah lagi. Namun begitu, cukuplah sekadar mengamalkannya seminggu sekali sahaja.
 
Selain itu, buah limau kasturi juga mujarab untuk melegakan pening kepala. Caranya ialah dengan mengambil sebiji limau kasturi. Kemudian, potong sedikit di bahagian atasnya. Selepas itu, picit kulit limau kasturi tersebut sehingga cecairnya keluar. Pastikan anda menghalakan cecair itu ke arah hidung semasa cecair buah limau kasturi tersebut terpancut.
 
Selanjutnya, sakit tekak juga boleh disembuhkan dengan minum jus buah limau kasturi yang dicampurkan dengan sedikit lada hitam. Cara ini juga amat berkesan untuk menghilangkan lendir dan kahak semasa kita sakit tekak. Jika kanak-kanak pula, anda boleh campurkan jus limau kasturi tu dengan sedikit madu. Tujuan menggantikan lada hitam dengan madu adalah untuk mengelakkan daripada kanak-kanak itu mengalami kepanasan.
 
Bukan itu sahaja, kita juga boleh menghilangkan kesan minyak pada pakaian dengan menggunakan buah limau kasturi. Perahkan sebiji buah limau kasturi ke dalam piring. Kemudian, campurkan perahan tersebut dengan sedikit garam dan gosokkan campuran tersebut pada pakaian yang terkena minyak. Biarkan selama 5 hingga 10 minit. Insya-allah, kesan minyak itu akan hilang dalam sekelip mata.

No comments:

Post a Comment