Thursday, September 30, 2010

PEGAGA

DEFINISI
Pegaga (Centella asiatica (L) Urban) berasal dari kawasan Asia dan juga Afrika Timur iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar. Kemudian ia tersebar ke kawasan Asia Tenggara dan kawasan-kawasan lain seperti Malaysia, Pakistan, China, Jepun, Afrika Timur, West Indies, Amerika Selatan dan Australia. Ia didapati tumbuh meliar di kawasan lembap yang berdekatan dengan air (di persisiran sungai dan tali air). Kebanyakan spesies boleh tumbuh di kawasan terbuka manakala terdapat juga spesies yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana.
CIRI-CIRI
Pegaga tumbuh menjalar di atas tanah dan mengeluarkan akar pada setiap ruas daun. Daunnya berbentuk otak atau ginjal dengan bahagian tepi daun bersifat licin atau bergerigi mengikut jenis. Lebar daun antara 3รข€“5 cm dan panjang tangkai daun boleh mencapai 15 cm mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman. Bunganya dalam jambak 3 hingga 4 kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu. Buahnya berbentuk pipih berukuran di sekitar 3 mm dan kelihatan seperti biji cili. Terdapat 3 jenis pegaga iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan Hydrocotyle spp. Spesies asiatica lebih dikenali kerana dapat mengubati berbagai-bagai jenis penyakit.
KHASIAT PEGAGA KEPADA KESIHATAN
Pegaga mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan quercetin), volatile oils (vallerin, camphor, cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid centellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda. Pegaga pernah dipanggil makanan otak kerana ia dapat mengembalikan kesihatan diri dan dapat menolong mengurangkan simptom yang disebabkan oleh tekanan, meningkatkan tindakbalas menambahkan kekuatan fizikal dan mental. Baru-baru ini WHO telah mengumumkan bahawa pegaga terbukti berkesan untuk meningkatkan kecerdasan dan keupayaan mental kanak-kanak. Selain itu ia juga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid.Herba ini mula digunakan dalam perubatan ayurveda. ia juga pernah digunakan dalam perubatan herba shennong di cina lebih kurang 2000 tahun yang lalu.Kebelakangan ini pegaga banyak digunakan untuk dibarat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan.Diindai bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit. Di timur pula, pegaga juga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari.Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas.
CARA MAKAN
Pada asalnya pegaga dimakan sebagai ulam untuk menambahkan selera makan kerana daunnya yang wangi. Mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur.Tapi kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. selain dimakan mentah sebagai ulam pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.

ULAM RAJA


DEFINISI
Ulam Raja adalah sejenis spesis bunga intan berayun yang berwarna unggu atau kuning dan berbunga kecil. Herba ini adalah herba semusim mencapai ketinggian hampir satu meter.
CIRI-CIRI
Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas. Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau apabila diramas.
CARA MAKAN ULAM RAJA
Ulam raja sangat sedap dan enak untuk dijadikan sayuran ulam-ulaman yang dimakan mentah. Kita boleh makan ulam raja bersama nasi yang dicicah dengan budu, sambal belacan dan cencalok. Aduh, rasanya memang enak hingga menjilat jari. Selain itu, ulam raja boleh dicampur dengan pucuk ulam-ulaman yang lain sebagai ramuan nasi atau nasi kerabu. Di samping itu, ulam raja boleh dijadikan sayuran tradisional yang sungguh sedap jika dijadikan herba dalam masak lemak atau dicelur sahaja.
JUS ULAM RAJA
Saya sendiri lebih suka mencampurkan ulam raja dengan madu lebah dan dibuat jus sekali dalam seminggu. Kadang-kadang saya campur ulam raja dengan buah epal hijau dan lobak merah untuk dijadikan jus.
KHASIAT ULAM RAJA
Berdasarkan kajian yang diperoleh ulam raja ada  mengandungi  sebanyak 3 peratus protein, 0.4 peratus lemak dan karbohidrat . Ulam raja juga kaya dengan kalsium dan vitamin A. Pada zaman nenek moyang kita dahulu, ulam raja selalu digunakan sebagai herba untuk memperbaiki peredaran darah dan mencuci darah. Ulam raja dipercayai mempunyai keupayaan untuk menguatkan tulang seseorang manusia. Ulamnya mempunyai keupayaan antioksida (AEAC) yang amat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik. Melebihi dua puluh jenis bahan antioksida telah dikenal pasti dalam ulam raja. Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik, serta penangkap (+). Keupayaan ulam raja untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi.

MISAI KUCING


Pokok Misai Kucing ialah pokok herba renek tropika yang banyak terdapat di negara kita yang tercinta ini. Pokok Misai Kucing ialah pokok herba renek yang tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter. Nama sainsnya Orthosiphon stamineus, Benth. Pokok misai kucing merupakan sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan. Bunga terdapat pada 'verticil' lebih kurang 16 cm panjang. Bunga berwarna putih kebiru-biruan dengan filamen yang panjang, seperti misai kucing.

Daun Misai Kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Daun Misai Kucing berasa licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjereja. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3 cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan. Batang pokok Misai Kucing berbentuk empat segi, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang. Herba Misai Kucing boleh ditanam sepanjang tahun dan ia boleh tumbuh setinggi 0.3 hingga 1 meter. Misai Kucing mempunyai bunga yang berwarna putih dan keseluruhan tumbuhan ini boleh digunakan sebagai ubat.

KHASIATNYA KEPADA KESIHATAN KITA

Daun pokok Misai Kucing juga digunakan sebagai herba perubatan untuk merawat kencing manis. Herba Misai Kucing digunakan untuk memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang dan bagi membantu mengelakkan penyakit batu karang. Mengikut kajian yang sudah dibuat, daunnya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.


APA ITU HERBA?

Herba ialah tumbuhan yang boleh diguna sebagai bahan makanan, perubatan dan bahan aroma. Herba yang sering dikaitkan sebagai ubat tradisional sangat kaya dengan khasiat serta mampu dijadikan alternatif kepada perubatan moden untuk menyembuhkan penyakit di samping menguatkan sistem imunisasi badan. Ini bermaksud tidak hanya tumbuhan renek, bahkan pokok berkayu juga boleh ditakrif sebagai herba jika ada potensi

Selain untuk perubatan dan penjagaan kesihatan seperti memberi tenaga, awet muda atau penawar selepas bersalin, herba juga digunakan dalam ritual bagi menghindar gangguan makhluk halus. Di Malaysia, sumber ubat tradisi ini telah lama diperoleh daripada bahagian tumbuhan seperti akar, batang, daun, buah mahupun kulit kayu. Terdapat sekurang-kurangnya 1,158 spesies tumbuhan tinggi di Malaysia direkodkan mempunyai nilai perubatan. Daripada jumlah tersebut, 1,075 ialah tumbuhan berbunga, 76 spesies paku-pakis dan tujuh spesies lagi daripada keluarga gimnosperma. Selain mujarab merawat penyakit biasa seperti sakit kepala, batuk dan demam, ada juga sesetengah spesies boleh mengubati penyakit tropika seperti malaria dan kolera.

Berdasarkan sedikit penerangan mengenai herba yang diberikan, blog ini akan memaparkah pelbagai herba yang terdapat di Malaysia yang diperoleh dari pelbagai sumber dan kepercayaan masyarakat majmuk di Malaysia. Kemungkinan ada kekurangan dalam pelbagai isu yang dibicarakan tetapi saya berharap kita semua akan mendapat manfaat daripada setiap kurniaan Allah di bumi bertuah ini.

Assalamualaikum.