DEFINISI
Ulam Raja adalah sejenis spesis bunga intan berayun yang berwarna unggu atau kuning dan berbunga kecil. Herba ini adalah herba semusim mencapai ketinggian hampir satu meter.
CIRI-CIRI
Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas. Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau apabila diramas.
CARA MAKAN ULAM RAJA
Ulam raja sangat sedap dan enak untuk dijadikan sayuran ulam-ulaman yang dimakan mentah. Kita boleh makan ulam raja bersama nasi yang dicicah dengan budu, sambal belacan dan cencalok. Aduh, rasanya memang enak hingga menjilat jari. Selain itu, ulam raja boleh dicampur dengan pucuk ulam-ulaman yang lain sebagai ramuan nasi atau nasi kerabu. Di samping itu, ulam raja boleh dijadikan sayuran tradisional yang sungguh sedap jika dijadikan herba dalam masak lemak atau dicelur sahaja.
JUS ULAM RAJA
Saya sendiri lebih suka mencampurkan ulam raja dengan madu lebah dan dibuat jus sekali dalam seminggu. Kadang-kadang saya campur ulam raja dengan buah epal hijau dan lobak merah untuk dijadikan jus.
KHASIAT ULAM RAJA
Berdasarkan kajian yang diperoleh ulam raja ada mengandungi sebanyak 3 peratus protein, 0.4 peratus lemak dan karbohidrat . Ulam raja juga kaya dengan kalsium dan vitamin A. Pada zaman nenek moyang kita dahulu, ulam raja selalu digunakan sebagai herba untuk memperbaiki peredaran darah dan mencuci darah. Ulam raja dipercayai mempunyai keupayaan untuk menguatkan tulang seseorang manusia. Ulamnya mempunyai keupayaan antioksida (AEAC) yang amat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik. Melebihi dua puluh jenis bahan antioksida telah dikenal pasti dalam ulam raja. Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik, serta penangkap (+). Keupayaan ulam raja untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi.
No comments:
Post a Comment